LIFE IS NOT PERFECT BUT I AM BLESSED

Thursday, April 14, 2011

Eksploitasi Sang Pemimpi


IDEA!!! Ke manakah dikau menghilangkan diri di saat aku memerlukanmu? Datanglah kepadaku agar bisa ku mencoret sedikit nukilan di laman ini. Entahlah..Idea sebenarnya tidak pernah hilang. Cuma barangkali ianya tersorok di suatu tempat.. Ataupun mungkin tersekat di lorong yang tidak diketahui. Lorong gelap yang menjadi tanda tanya sehingga kini..
Dan secara jujurnya, banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini. Yup... Perkara yang terjadi ketika minda ini dalam keadaan sedar. Jadi, sepatutnya aku tidak boleh menyalahkan idea dalam hal ini. Mungkin aku tiada masa.. Mugkin juga aku tiada mood.. Aku sendiri pun tidak pasti mana satu jawapan yang sesuai. Tidak mengapalah. Janji aku masih berupaya untuk berkarya di sini. Karya picisan yang dicoretkan tanpa halatuju yang jelas...
Mungkin juga aku hanya perlu biarkan sahaja minda separa sedar untuk meluahkan ideanya. Layankan apa sahaja yang berlegar-legar di minda. Ikut sahaja arus minda separa sedar. Tidak usahlah menahannya. Pasti banyak idea yang terluah. Cuma mungkin agak kurang menarik untuk aku kupaskan di ruangan maya ini. Dan semestinya ada yang berkata aku ini terlalu cerewet. Tidak mengapalah. Aku akui memang itu sifatku. Dan rasanya, ianya tidak menyusahkan orang lain. Hanya menyusahkan diriku sendiri. Kadangkala terasa diri ini begitu asyik mengikut arus minda separa sedar. Umpama hilang segala permasalahan yang melanda diri. Terasa bebas berterbangan menerjah alam fantasi ciptaan sendiri. Berkhayal tanpa batasan. Tiada sempadan atau sekatan minda. Yang ada hanyalah fantasi yang indah serta berbeza dengan realiti.
Dan akhir-akhir ini, aku kerap mengalami mimpi. Mimpi yang tidak sama. Dan sukar untuk diingati apabila diri ini kembali ke keadaan sedar. Yang pentingnya, mimpi-mimpi itu sungguh indah menusuk kalbu. Hinggakan aku pernah terfikir untuk terus menjadi sang pemimpi. Terus bermimpi tanpa bangkit dari tidur lena. Dan terus diulit mimpi yang indah. Namun, aku sedar. Aku hanya manusia biasa yang ada halatuju sendiri. Perlu bangkit dari tidur lena untuk meneruskan kehidupan. Menghadapi realiti yang semakin mencabar. Tidak usahlah gusar kerna setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.
Erkk. Nampaknya sudah jauh aku melalut kali ini. Aku perlu segera kembali kepada realiti. Kembalilah wahai sang realiti. Aku benar-benar merinduimu di kala ini. Ah. Sebenarnya, aku sudah ketandusan idea. Tidak mampu untuk mencoret sesuatu yang memberangsangkan walaupun pelbagai perkara berlaku di sekelilingku setiap masa. Anggaplah entry kali ini sebagai bebelan seseorang yang ketandusan idea. Mungkin juga boleh dianggap entry sampah. Entahlah.... Noktah.

No comments:

Post a Comment

check this out